Melalui Seminar Jantung Sehat, IJN Malaysia dan RS Putra Melaka Edukasi Warga Dumai

Dumai (Wasiat24.com) – Institut Jantung Negara (IJN) Malaysia bersama RS Putra Melaka terus memperkukuh komitmen dalam meningkatkan kesadaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesehatan jantung menerusi penganjuran Health Talk Seminar Jantung Sehat yang berlangsung di Ballroom Tingkat 2, Hotel The Zuri Dumai, Sabtu (11/7).

Program yang mendapat sambutan menggalakkan itu menghimpunkan wakil syarikat swasta, Dharma Wanita, tenaga kesihatan, syarikat insurans, pertubuhan masyarakat serta orang awam di Kota Dumai yang ingin mendapatkan pendedahan mengenai pencegahan penyakit kardiovaskular dan amalan gaya hidup sihat.

Seminar tersebut menampilkan dua penceramah dari Malaysia yaitu Dr. Hisham Md. Shahrom, Pakar Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), serta Zety An Nur Binti Hisamudin, Pakar Dietetik RS Putra Melaka.

Turut hadir ialah Farah Delah Suhaimi, Ketua Bahagian Pemasaran Institut Jantung Negara (IJN); Norshamsara Binti Musa, Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran RS Putra Melaka; Agnes, Wakil IJN di Dumai; serta Dafi Fernanda, Wakil RS Putra Melaka di Dumai.

Dalam ucapan pembukaannya, Farah Delah Suhaimi berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan IJN dalam memperluaskan pendidikan kesihatan kepada masyarakat Indonesia, khususnya di Kota Dumai.

“Kesihatan merupakan pelaburan yang paling bernilai. Melalui seminar ini kami ingin meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa penyakit jantung sebenarnya boleh dicegah sekiranya faktor risiko dikenal pasti lebih awal dan pemeriksaan kesihatan dilakukan secara berkala. Jangan menunggu sehingga gejala muncul sebelum mendapatkan pemeriksaan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Institut Jantung Negara yang ditubuhkan pada tahun 1992 di Kuala Lumpur kini merupakan antara pusat rawatan jantung terbesar di Asia Tenggara. IJN mempunyai kira-kira 90 pakar jantung daripada keseluruhan 168 doktor pakar pelbagai disiplin serta telah memberikan rawatan kepada jutaan pesakit dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia.

Dalam masa yang sama, Norshamsara Musa juga turut memperkenalkan RS Putra Melaka yang telah beroperasi sejak tahun 1995 dan terletak di tengah Bandaraya Melaka. Hospital tersebut mempunyai lebih daripada 40 doktor pakar pelbagai disiplin dengan kekuatan utama dalam bidang ortopedik serta menawarkan pelbagai perkhidmatan kepakaran kepada pesakit antarabangsa termasuk dari Indonesia.

“Kedua-dua institusi kesihatan ini bekerjasama dalam menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada pesakit antarabangsa bermula daripada konsultasi awal, urusan pendaftaran, pengangkutan, penginapan sehingga kepada pemantauan sepanjang menerima rawatan di Melaka.”

“Kami mahu masyarakat Indonesia mengetahui bahawa mereka mempunyai pilihan mendapatkan rawatan bertaraf antarabangsa dalam bidang kardiologi dan ortopedik dengan kemudahan moden, teknologi terkini serta pasukan pakar yang berpengalaman di RS Putra Melaka,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Hisham Md. Shahrom menegaskan bahawa penyakit jantung masih kekal sebagai penyebab utama kematian di seluruh dunia termasuk Indonesia. Menurut beliau, sebahagian besar kes sebenarnya boleh dicegah melalui perubahan gaya hidup yang lebih sihat.

“Penyakit jantung bukan lagi penyakit yang hanya menyerang golongan warga emas. Kini semakin ramai pesakit berusia antara 30 hingga 40 tahun hadir mendapatkan rawatan dalam keadaan yang serius. Faktor seperti pemakanan tidak sihat, kurang bersenam, merokok, diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol merupakan risiko utama yang perlu dikawal,” jelas beliau.

Beliau turut menggalakkan masyarakat menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, khususnya individu yang mempunyai sejarah penyakit jantung dalam keluarga. “Semakin awal penyakit dapat dikesan, semakin tinggi peluang untuk menerima rawatan yang berkesan serta meningkatkan kualiti hidup pesakit,” tambahnya.

Dalam sesi yang sama, Pakar Dietetik RS Putra Melaka, Zety An Nur Binti Hisamudin, berkongsi panduan pemakanan sihat sebagai langkah penting dalam mencegah penyakit jantung.

Menurut beliau, pengambilan makanan rendah garam, rendah lemak tepu, memperbanyakkan buah-buahan dan sayur-sayuran serta mengurangkan makanan diproses merupakan amalan yang mampu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

“Menjaga kesihatan jantung bukan hanya bergantung kepada rawatan perubatan. Ia bermula daripada pemilihan makanan setiap hari. Perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten akan memberikan manfaat besar kepada kesihatan dalam jangka panjang,” katanya.

Selain sesi ceramah, para peserta turut diperkenalkan dengan profil Institut Jantung Negara Malaysia dan RS Putra Melaka, termasuk kemudahan rawatan terkini, teknologi perubatan moden serta perkhidmatan khas untuk pesakit antarabangsa.

Penganjuran seminar ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat Dumai mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit jantung, mengamalkan gaya hidup sihat serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Program ini turut mencerminkan komitmen berterusan IJN Malaysia dan RS Putra Melaka dalam memperkukuhkan kerjasama rentas negara bagi memperluaskan akses pendidikan kesihatan dan meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan masyarakat Indonesia.***

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *